Perebutan takhta Liga Sepanyol musim ini semakin hangat apabila kedua-dua musuh tradisi, Real Madrid dan Barcelona masing-masing mencatatkan kemenangan bergaya awal pagi semalam. Real dilihat tidak berdepan masalah membelasah Osasuna 5-1 sementara The Catalan menewaskan Athletic Bilbao dengan keputusan 2-0.
Skuad Jose Mourinho dilihat bakal menamatkan kemarau trofi liga selama empat tahun setelah mengutip 78 mata ketika aksi berbaki lapan perlawanan lagi. Kedua-dua pasukan kini dibezakan dengan enam mata. Sudah tentu pemain bintang Real, Cristiano Ronaldo dan Gonzalo Higuain paling mencuri tumpuan kelmarin apabila kedua-duanya meledak dua gol. Satu lagi gol Real dijaringkan oleh Karim Benzema. Keputusan semalam juga meletakkan Ronaldo dalam senarai penjaring terbanyak dengan 37 gol, sementara ia merupakan gol yang ke-100 buat Real dalam saingan liga musim ini.
“Kata-kata yang mengatakan bahawa kami bakal menjadi juara musim ini sering bermain di fikiran saya,” kata Mourinho.
“Kami di trek yang betul ketika ini, jadi kami harus lebih percaya yang kami akan muncul juara.”
Sementara itu di Nou Camp, skuad Pep Guardiola menang hasil jaringan Andres Iniesta dan Lionel Messi.