Bekas pemenang Kasut Emas 2006, Keita Mandjou akan memperkuatkan cabaran The Red Warriors yang bercita-cita mahu melangkah jauh dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Keita, 32, yang menggantikan Nwoha Onyekachi yang tamat kontraknya, akan mengukuhkan jentera serangan Kelantan bersama-sama Mohammad Ghaddar dan Norshahrul Idlan Talaha.
“Memang kita ambil dia (Keita) untuk menggantikan Nwoha yang tamat kontrak dan Keita bakal beraksi untuk saingan AFC. Dia dijangka tiba di Kota Bharu minggu depan. Setakat saya tahu, Keita akan diuji dalam perlawanan persahabatan menentang ATM, 8 Jun ini dan kita berharap kehadirannya akan menguatkan lagi pasukan,” katanya.
Selepas layak ke peringkat suku akhir Piala AFC, gergasi Pantai Timur itu kini tampak lebih serius untuk menempa nama di persada antarabangsa dan pengambilan Keita dilihat satu persiapan rapi untuk melakukan kejutan musim ini.