Pemain pinjaman Selangor, Rozaimi Abd Rahman akan menyarungkan jersi No.33 dalam Piala Malaysia seiring dengan ‘Misi 33’ The Red Giants. Selangor yang kali terakhir menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2005, telah mendapatkan khidmat pemain Sabah, Rozaimi yang juga menjaringkan 10 gol bersama skuad Malaysia B22 dalam saingan Kelayakan Piala AFC.
Selepas tugas bersama skuad kebangssan menentang Arsenal dan Manchester City baru-baru ini, Rozaimi pertama kalinya menyertai sesi latihan bersama Selangor malam tadi. Dijangkakan Rozaimi akan digandingkan dengan penyerang dari Croatia, Bosko Balaban untuk memantapkan serangan Selangor.
Jurulatih Selangor, Irfan Bakti apabila ditanya jika Selangor mampu menjuarai Piala Malaysia buat kali ke-33 berkata:
“Ya, saya rasa Selangor mampu menjuarai Piala Malaysia. Kami masih boleh meningkatkan prestasi pasukan dengan pemain yang kami ada. Tetapi bagi saya kualiti lebih penting dari kuantiti.” katanya lagi kepada New Straits Times.
“Terdapat lebih harmoni dan sefahaman dalam pasukan saya berbanding sebelum ini. Saya berpuas hati dengan peningkatan ini.”
Perancangan Irfan mungkin akan terganggu bermula minggu depan apabila Rozaimi, Safiq Rahim dan Norazlan berangkat ke Austria untuk latihan selama 12 hari Sabtu ini.