NIK MOHD SHAHRUL AZIM DAN MUHAMMAD SYAZWAN JANJI BERI SAINGAN | Terpilih menyertai skuad Harimau Muda menjalani latihan di Sydney, Australia bermula 10 Disember ini mungkin sesuatu yang mengujakan, namun ada janji yang dilontarkan dua pemain muda Kelantan, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim dan Muhammad Syazwan Yusoff setelah nama mereka tersenarai seperti yang diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Bekas Ketua Pasukan Piala Presiden Kelantan musim ini, Nik Mohd Shahrul Azim atau lebih dikenali dengan panggilan Poknik ketika dihubungi tampak agak terkejut dengan berita tersebut namun melahirkan perasaan gembira setelah bakat yang dipamerkan selama ini mula menarik perhatian jurulatih skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee itu.

“Memang tak sangka nama saya tersenarai menyertai latihan bersama skuad Harimau Muda. Pemilihan ini bukan bererti menerbitkan perasaan riak pada diri saya tetapi satu penghormatan bukan sahaja kepada keluarga saya tetapi juga bola sepak Kelantan.

“Insya-ALLAH saya berjanji akan menunjukkan prestasi terbaik sepanjang latihan tersebut. Memang saingan tetap ada lebih-lebih lagi ramai pemain dalam skuad Harimau Muda itu ternyata berpengalaman namun itu asam garam dalam bola sepak.

“Terpilih menyertai skuad Liga Super Kelantan untuk musim depan dan menjalani latihan bersama mereka sejak sebulan lalu ternyata memberikan keyakinan yang tinggi. Secara jujur, saya sudah bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk berada dalam satu lagi ‘fasa baru’ karier bola sepak saya ini,” katanya.

Selain Nik Mohd Shahrul Azim, dua lagi rakan sepasukan iaitu penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Izuan Salahuddin turut dipilih. Tuah juga memihak penjaga gol Piala Presiden Kelantan musim ini, Muhammad Syazwan yang terpilih untuk menyertai latihan selama 12 hari itu. Muhammad Syazwan, anak kelahiran Kampung Morak, Tumpat turut mengakui gembira dengan berita tersebut dan menyifatkan ia merupakan satu peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan sama sekali.

“Sukar nak percaya apabila nama saya tersenarai. Tak sangka macam mimpi pula apabila dipanggil oleh jurulatih, Ong Kim Swee. Insya-ALLAH saya berjanji akan buat yang terbaik sepanjang latihan tersebut.

“Saya akui kehebatan dua penjaga gol iaitu Khairul Fahmi (Che Mat) dan Mohd Izham Tarmizi (Roslan), mereka sememangnya lebih berpengalaman berbanding saya. Namun saya berharap dapat belajar sesuatu daripada mereka berdua sepanjang latihan di Sydney nanti,” katanya.

Sudah tertulis bagi penjaga gol muda berusia 19 tahun itu apabila penampilannya buat pertama kali sepanjang perlawanan pusingan kedua Liga Piala Presiden musim ini menarik perhatian Ong Kim Swee untuk disenaraikan dalam latihan skuad Harimau Muda nanti.

PETIKAN : SINAR HARIAN ONLINE

Penulis: suarasukan

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.