KEPUTUSAN TIDAK PENTING TAPI JIKA MENANG IA ADALAH BONUS | PERLAWANAN PERSAHABATAN OLIMPIK MALAYSIA VS KELAB LIGA-A AUSTRALIA | Seandainya ada kata-kata ‘sumbang’ yang berhasrat mahu mengkritik pasukan Harimau Muda jika mereka tersungkur ketika ‘berguru’ di bumi Australia tidak lama lagi, lebih baik lupakan sahaja niat itu. Ini kerana pengendalinya, Ong Kim Swee langsung tidak peduli dengan apa juga keputusan yang bakal dicatatkan anak buahnya ketika berdepan cabaran tiga buah kelab elit di sana nanti sebagai persediaan mengharungi Liga Singapura (Liga-S) pada Februari tahun depan.
Jika menang sudah tentu dianggap bonus, namun pada masa sama Kim Swee lebih teruja menjadikan aksi di sana sebagai medan terbaik menguji pemain baharunya seperti Sharil Saari (Terengganu), Syazwan Yusof (Kelantan) dan Nik Mohd. Syahrul Azim Nik Abd. Halim (Kelantan) termasuk pemain-pemain yang jarang diturunkan tidak kira sama ada ketika temasya Sukan SEA mahupun saingan kelayakan kempen Olimpik sebelum ini.
“Apa juga keputusan tidak mustahak. Sudah tentu, peluang berdepan dengan tiga buah kelab elit di Australia akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh saya menguji pemain baharu dan juga pemain yang jarang diturunkan sebelum ini. Bagi saya, pengalaman yang diraih pemain ketika di sana adalah jauh lebih penting terutamanya bagi perancangan masa panjang menghadapi Sukan SEA 2013 (Myanmar) dan Sukan Asia 2014 (Korea Selatan), tambahan pula pemain saya masih muda dan perlu didedahkan dengan perlawanan-perlawanan antarabangsa yang bagus seperti ini,” katanya.
Kesemua senarai 30 pemain akan mula berlatih di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini sebelum dijadualkan berlepas ke bumi Kanggaru pada 10 Disember depan. Difahamkan, tiga buah kelab elit yang bakal ditentang Harimau Muda sepanjang 12 hari berada di Australia nanti ialah Mariners FC, Newcastle Jets FC dan Sydney FC. Untuk rekod, Mariners FC merupakan naib juara Liga Australia (Liga-A) pada musim lalu, sementara Newcastle Jets FC pula pernah layak ke suku akhir Liga-Juara-Juara Asia pada 2009.
Reputasi Sydney FC juga dikhabarkan tidak kurang hebat apabila pernah mendapat sentuhan bekas tonggak Manchester United, Dwight Yorke, Juninho (Brazil) dan Kazuyoshi Miura dari Jepun yang pernah menyarung jersi The Sky Blues itu tidak lama dahulu. Kim Swee begitupun enggan mengesahkan ketiga-tiga kelab elit tersebut kerana masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi berhubung perkara itu.
Dalam pada itu, ada khabar gembira menyelubungi harapan dua tonggak yang digugurkan sebelum ini iaitu Nazirul Naim Che Hashim dan Mohd. Ferris Danial Mat Nasir yang masih berpeluang ‘terbang’ ke Australia apabila Kim Swee memberitahu masih belum menetapkan senarai akhir 30 pemain yang akan dibawa ke sana.
“Saya akan menilai semula senarai akhir pemain selewat-lewatnya esok (hari ini) sebelum membuat keputusan memandangkan hanya akan menyisihkan pemain yang tercedera ataupun tidak berada di prestasi yang terbaik,” katanya.
Pasukan Harimau Muda yang berjaya mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Jakarta baru-baru ini begitupun mengalami ‘detik suram’ di pentas kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia apabila tewas dalam ketiga-tiga perlawanan menentang Jepun, Syria dan Bahrain sebelum ini. Mereka kini terperosok di tangga tercorot Kumpulan C tanpa sebarang mata.
PETIKAN : KOSMO! ONLINE