MANFAATKAN PELUANG BERAKSI DI LIGA-S : MAHALI JASULI | Pemain pertahanan Harimau Muda A, Mahali Jasuli menggesa rakan sepasukan untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang bermain dalam Liga Singapura (Liga S) sebagai pertukaran dengan Young Lions yang akan beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan. Pemain berusia 22 tahun dari Selangor itu berkata, peluang berkenaan harus digunakan sebaik mungkin oleh pemain skuad kendalian Ong Kim Swee itu kerana liga berkenaan turut disertai oleh beberapa pasukan luar seperti dari negara Thailand, Kemboja dan Australia.
“Kita dapat pengalaman baru kerana peluang sebegini jarang diperoleh oleh pemain-pemain muda seperti kami (pemain Harimau Muda A),” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada pelancaran bola rasmi Kejohanan Euro 2012, Adidas Tango 12 di ibu negara semalam.
Skuad tersebut akan memulakan latihan pusat pada Isnin ini dan dijangka bertolak ke Australia pada 10 Disember ini sebagai persiapan untuk mengadakan tiga perlawanan persahabatan dengan tiga kelab liga Australia pada 10 hingga 22 Disember. Perlawanan tersebut merupakan persiapan awal sebelum skuad tersebut menyertai Liga Singapura dan persediaan menghadapi baki tiga perlawanan kelayakan Olimpik 2012 Februari depan menentang Syria, Bahrain dan Jepun.
Mahalli, yang pernah berlatih dengan kelab Slovakia, FC Vion selama tiga bulan berkata, beliau akan menggunakan pengalaman tersebut untuk dimanfaatkan dalam Liga Singapura kelak.
“Untuk liga tersebut, kita akan kekal berada di Kuala Lumpur dan setiap minggu akan berulang alik untuk beraksi di Singapura dan ia tidak menjadi masalah kerana setiap pemain sudah banyak kali bermain di luar negara,” katanya sambil berjanji akan memberikan aksi terbaik pada liga itu nanti.
Mengulas mengenai ketiadaan pemain-pemain skuad tersebut yang berhijrah ke negeri lain musim depan, Mahalli berkata, ia merupakan satu peluang terbaik kepada pemain dari pasukan Harimau Muda B untuk mempamerkan aksi terbaik mereka kepada Kim Swee.
“Kita lihat pasukan dari Harimau Muda B umpamanya mempunyai pemain yang berpotensi dan inilah peluang mereka untuk membuktikan sesuatu bahawa mereka juga mempunyai kualiti yang tersendiri,” katanya.
Sehingga kini, tiga pemain tidak akan beraksi dengan Harimau Muda A kerana telah melebihi usia 23 tahun tahun depan iaitu Mohd. Muslim Ahmad yang menyertai Terengganu, K. Gurusamy (Selangor) dan Mohd. Zamir Selamat yang berhijrah ke Johor FC.