JURULATIH ENGLAND FABIO CAPELLO PUAS HATI UNDIAN EURO 2012 FINAL POLAND AND UKRAINE | Pengurus England, Fabio Capello berpuas hati dengan hasil undian pusingan akhir Euro 2012 dengan menganggapnya sebagai selesa. England diundi dalam Kumpulan D bersama-sama dengan Perancis, Sweden dan tuan rumah bersama, Ukraine. Menurutnya, semua pasukan dalam kumpulan tersebut memiliki kekuatan yang seimbang. Majlis undian itu berlangsung di National Palace of Arts di Kiev, Ukraine kelmarin. Euro 2012 dihoskan bersama oleh Ukraine dan Poland pada Jun depan.

“Saya rasa, Kumpulan B boleh dianggap sebagai kumpulan maut,” jelas Capello.

Kumpulan B terdiri daripada Belanda, Denmark, Jerman dan Portugal sementara Kumpulan A diwakili Poland, Greece, Rusia dan Republik Czech.

“Saya anggap kumpulan kami adalah seimbang. Kami perlu berdepan tuan rumah bersama, Ukraine.

Kami pernah menentang mereka sebanyak dua kali pada kelayakan Piala Dunia sebelum ini,” jelas Capello. Pada aksi kelayakan itu, England menewaskan Ukraine 2-1 di Wembley, tetapi tewas 0-1 pada perlawanan timbal balik di Dnipropetrovsk ketika penjaga gol utama England, Rob Green dilayangkan kad merah pada perlawanan tersebut. Pada pusingan akhir Euro 2012 kelak, England akan memulakan kempen mereka menentang Perancis, pasukan yang telah menewaskan mereka sebanyak empat kali dalam lima pertemuan terakhir sebelum ini.

“Aksi menentang Perancis pasti sukar. Perlawanan pertama selalunya begitu dan saya juga yakin ia juga sukar buat Perancis,” tambah Capello.

Capello juga melahirkan kegembiraannya kerana akan berada di Krakow, Poland pada kempen peringkat kumpulan itu kelak.

“Kami beraksi di Krakow dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan. Saya puas hati kerana kemudahan di situ sungguh memuaskan,” katanya.

PETIKAN : KOSMO! ONLINE

Penulis: suarasukan

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.