SOKONGAN PADU PENYOKONG JADI AZIMAT AMPUH MALAYSIA LAYAN SYRIA MALAM INI | Hanya kehadiran puluhan ribu penyokong tempatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini mampu mencetuskan api kebangkitan skuad Olimpik negara. Seruan terbabit disuarakan pengendali, Ong Kim Swee dengan melihat peranan penting bakal dimainkan penonton tempatan apabila anak-anak buahnya turun menentang Syria, 48 jam selepas berjaya mempertahankan emas Sukan Sea.

Kira-kira 1,000 peminat bola sepak tempatan sanggup bersengkang mata sejak jam 1 pagi semalam semata-mata mahu menyambut kepulangan skuad Harimau Muda negara di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT). Mereka datang dari segenap penjuru, termasuk dari sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak hanya kerana ingin bertemu dan mengucapkan tahniah secara peribadi kepada wira negara itu yang tiba dengan pesawat khas dari Jakarta pada jam 7.30 pagi itu.

“Saya tidak boleh menafikan pemain kini keletihan selepas mengharungi jadual padat di Sukan Sea. Saya cuma boleh berharap mereka mampu memberikan aksi terbaik seperti yang dipamerkan dalam final semalam (malam kelmarin). Penyokong bakal memainkan peranan penting esok (malam ini) seperti yang dilakukan penyokong Indonesia semasa kami beraksi di Stadium Gelora Bung Karno,” katanya pada sidang media menjelang perlawanan menentang Syria dalam saingan Kumpulan C kelayakan Sukan Olimpik 2012 zon Asia.

Skuad bawah 23 tahun berjaya mempertahankan pingat emas Sukan Sea dengan menewaskan Indonesia malam kelmarin dalam penentuan sepakan penalti jelas berdepan jadual yang padat dalam tempoh dua minggu.

“Sekarang kami berdepan salah sebuah pasukan gergasi di Asia, bukan lagi di tahap Asia Tenggara dan berdasarkan ranking dalam kelayakan ini (tempat ke-12), keupayaan meraih satu mata sudah cukup membanggakan. Namun sasaran tiga mata tetap menjadi keutamaan kami,” katanya jelas mengharapkan skuad negara mampu meraih mata selepas tewas 0-2 kepada Jepun pada perlawanan pembukaan Kumpulan C pada September lalu.

Selain berdepan masalah keletihan pemain, pengendali dari Melaka itu perlu merangka strategi terbaik selepas beberapa pemain utamanya tidak akan dapat beraksi kerana kecederaan seperti Izzaq Faris Ramlan, Syahrul Azwari Ibrahim, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Gary Steven Robbart selain kecergasannya Wan Zack Haikal Wan Nor yang masih diragui.Beliau bagaimanapun masih mempunyai beberapa pemain berkebolehan yang tersisih ke Sukan Sea sebelum ini seperti Mohd Izuan Solahuddin, Ahmad Hazwan Bakri dan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir. Petikan : MyMetro Online

Penulis: suarasukan

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.