SELANGOR VS PERAK 10 OKTOBER 2011 | AWAS AMUKAN GERGASI MERAH WAHAI SANG SELADANG! | AWAS! bagi mana-mana pasukan, terutamanya Seladang, lebih baik anda berwaspada daripada ‘dibaham’ Gergasi Merah yang sedang mengganas ketika ini. Apa tidaknya, pasukan Selangor pastinya telah ‘terjaga daripada tidur yang lena’ sebaik berjaya menempah slot ke suku akhir edisi Piala Malaysia kali ini.
Episod indah memintas Kuala Lumpur pada saat-saat akhir menerusi kemenangan bergaya 2-1 di Stadium Shah Alam bagi aksi Kumpulan D, Selasa lalu pastinya masih belum pudar daripada ingatan penyokong setia skuad Merah Kuning itu. Apa yang pasti, kejayaan mara ke suku akhir bukan bermakna keputusan mereka yang mendesak bekas pengendali Selangor, K. Devan meletak jawatan sebelum ini adalah suatu keputusan yang tepat. Sebaliknya, ia dilihat lebih kepada semangat juang yang dipamerkan pemain Gergasi Merah yang kembali bangkit mempamerkan taring sebenar, sekali gus memastikan ‘Misi 33’ kembali membara.
Walaupun pujian boleh diberikan kepada jurulatih baharu, P. Maniam yang dilihat ‘lulus’ ujian pertama, pengendali berusia 43 tahun itu tetap enggan menerima kredit seorang diri sambil menyatakan, kejayaan Selangor layak ke suku akhir adalah disebabkan oleh kesungguhan anak-anak buahnya berjuang bermati-matian setakat ini. Selangor layak ke suku akhir pada saingan Piala Malaysia kali ini selepas menghuni tangga kedua Kumpulan D dengan 10 mata hasil tiga kemenangan, satu seri dan dua tewas. Pada aksi suku akhir 10 Oktober ini, Selangor akan melayan kunjungan bekas juara Piala Malaysia sebanyak tujuh kali, Perak di Stadium Shah Alam.