Kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim menyeru para penyokong membanjiri Stadium Nasional untuk memberi sokongan moral kepada skuad kebangsaan yang akan menentang Timor Leste pada aksi pertama kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam esok.

Safiq berkata, skuad Harimau Malaya kini sudah bersedia untuk mempamerkan aksi terbaik bagi mendapatkan keputusan positif sebagai membalas kepercayaan serta kesetiaan para penyokong.

malaysia vs timor leste 11 jun 2015 kelayakan piala dunia 2018 dan piala asia 2019

Pemain tengah Johor DT itu menambah, dia serta rakan-rakannya tidak sanggup ber­aksi tanpa penyokong seperti ketika perlawanan menentang Hong Kong di Stadium Shah Alam pada aksi persahabatan hujung minggu lalu.

“Tidak dinafikan, penyo­kong memberi semangat dan kekuatan kepada pasukan. Saya harap penyokong dapat hadir ke stadium pada perlawanan pertama itu untuk menaikkan semangat dan motivasi pemain.

“Saya yakin kami ada kemampuan untuk melakukan yang terbaik. Kita semua mahu keputusan positif. Persediaan berjalan lancar dan kami berharap dapat pungut tiga mata menerusi perlawanan itu.

“Kami telah mengambil pengajaran daripada perlawanan lalu dan akan baiki kelemahan. Saya yakin kami mampu tewaskan mereka (Timor Leste),” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Safiq turut menggesa rakan-rakan sepasukannya supaya tidak sesekali memandang rendah terhadap keupayaan Timor Leste meskipun Harimau Malaya akan beraksi sebagai pasukan pilihan.

“Saya masih belum pernah melihat aksi penuh Timor Leste. Setiap pasukan mempunyai kekurangan dan kekuatan tersendiri. Jika bermain dengan baik, kami mampu menang,” tambah Safiq.

Sementara itu, ketua jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh meluahkan kegembiraan apabila Safiq kembali memperkuatkan posisi tengah skuad kebangsaan.

Dollah menambah, sekembalinya Safiq diharap berupaya menambah ‘sengat’ skuad kebangsaan menjelang aksi pertama kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 malam esok.

“Saya percaya, kemasukan semula Safiq ke dalam pasukan akan memberi kelebihan kepada skuad negara kerana kita semua tahu, dia mampu menghasilkan hantaran serta umpanan yang menarik kepada penyerang untuk mence­rahkan peluang menjaringkan gol.

“Safiq juga mampu beraksi di posisi serangan dan masih memiliki ‘naluri pemusnah’ jika mendapat peluang yang baik di hadapan gol. Dia juga seorang pemain yang sentiasa dahagakan gol,” katanya. [Kosmo!]

Penulis: suarasukan

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.