KELANTAN MENANG, ATM KECEWA

| Feb 9, 2015 | 0 Comments
  • SumoMe

Perlawanan pembukaan yang menarik untuk pasukan Kelantan untuk perlawanan pertama Liga Super 2015. Dalam aksi berkenaan yang berlangsung pada Sabtu lepas, Kelantan menang dan berjaya membawa pulang tiga mata berharga setelah menewaskan pasukan ATM dengan keputusan 2-0.

Jaringan gol pertama Kelantan disumbangkan oleh Noor Hazrul dan gol kedua oleh Erwin Carillo sudah cukup memberi tekanan kepada ATM untuk bertindak balas mencipta serangan demi serangan ke kubu Kelantan, namun penyudah yang tumpul ATM banyak memberi kelegaan kepada skuad The Red Warriors.

Dalam pada itu, jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan kecewa dengan prestasi kurang cemerlang yang dipamerkan anak buahnya pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan itu.

JADUAL, KEPUTUSAN DAN CARTA LIGA SUPER 2015

Menurut Sathianathan, anak-anak buahnya gagal menampilkan aksi sebenar sehingga banyak terlepas peluang untuk menggegar gawang pasukan lawan. Jelasnya, ATM dilihat banyak memberi ruang kepada Kelantan yang mempergunakan sepenuhnya peluang tersebut.

“Kami menguasai permainan pada babak kedua tetapi gagal melakukan penyudah dengan baik dan kebuntuan tersebut berterusan sehingga tamat perlawanan. Saya sangat kecewa dengan persembahan yang ditunjukkan oleh para pemain, terutamanya pada awal permainan separuh masa pertama, sekali gus memberi gol mudah kepada pasukan lawan. Prestasi pemain berada di bawah keupayaan sebenar malah pemain senior juga tidak menunjukkan aksi yang membanggakan,” katanya.

Bekas pengendali Kelantan itu juga menyifatkan skuad yang mendapat jolokan The Red Warriors itu telah mempamerkan aksi cemerlang dan menunjukkan disiplin tinggi sehingga berjaya meloloskan diri untuk menghasilkan dua gol.

LIGA SUPER MALAYSIA 2015

“Saya lihat benteng pertahanan Kelantan sangat kebal dan semangat kerjasama dalam kalangan pemain mereka juga baik sehingga menyukarkan kami untuk menjaringkan gol. ATM juga mempunyai peluang, namun kami gagal menyudahkan setiap percubaan. Saya kecewa kerana impian meraih tiga mata pada aksi pembukaan ini menemui kegagalan,” ujarnya lagi.

Tahniah buat pasukan Kelantan! Diharap semua pemain mampu mengekalkan corak permainan dan prestasi yang dipamerkan untuk perlawanan kedua liga yang bakal berlangsung di Kota Bharu menentang Lions XII pada Sabtu depan.


Tags: , , , , , , , ,

Category: FEATURED, LIGA SUPER, THE RED WARRIORS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *