TERENGGANU YAKIN MAMPU BERI SAINGAN WALAU KEKURANGAN TENAGA IMPORT | SKUAD TERENGGANU 2012

| Dec 5, 2011 | 0 Comments
  • SumoMe

TERENGGANU YAKIN MAMPU BERI SAINGAN WALAU KEKURANGAN TENAGA IMPORT | SKUAD TERENGGANU 2012 | Meskipun tidak memenuhkan kuota pemain import untuk beraksi dalam playoff Piala AFC tahun depan, Terengganu tetap bersikap optimis untuk menghadapi cabaran dengan mempertaruhkan bakat tempatan. Menyifatkan pengambilan khidmat pemain import yang kurang berkualiti sebagai satu pembaziran dalam kelab, pengendali pasukan, Mat Zan Mat Aris menaruh kepercayaan tinggi kepada pemain sedia ada dan juga pemain muda untuk memikul tanggungjawab bagi merebut tempat ke pentas Piala AFC 2012 nanti.

“Sehingga kini, kita sudah menghantar pulang 10 pemain import selepas kesemua mereka gagal menepati kriteria yang diperlukan. Tiada gunanya kita mendapatkan khidmat awang import sekiranya taraf permainan mereka sama atau jauh lebih rendah dari pemain tempatan.

“Oleh itu, kita hanya akan menghantar dua pemain import daripada empat kuota yang diberikan oleh Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) kepada pasukan negeri untuk membantu pasukan dalam menghadapi saingan di Piala AFC nanti,” katanya yang melihat masalah mencari khidmat awang import memberi peluang kepada bakat muda untuk diketengahkan.

Semalam, dua lagi pemain asing dari Nigeria bakal diuji dalam perlawanan persahabatan menentang skuad Sukma negeri sebelum diserap dalam skuad Liga M musim depan. Dalam perkembangan lain, Mat Zan mengakui beliau kini memikul tugas berat sejak mengambil alih tanggungjawab bekas jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim terutama apabila rakan seperjuangannya itu merangkul Anugerah Jurulatih Terbaik selepas berjaya membimbing Skuad Penyu menjuarai Piala FA serta naib juara Piala Malaysia dan Liga Super tahun ini.

“Ia bagaikan satu bebanan yang besar buat saya, namun sebagai jurulatih yang diberikan tanggungjawab untuk mengendali pasukan saya akan berusaha dengan sebaik mungkin untuk memastikan kesinambungan kejayaan tersebut,” katanya.

PETIKAN : SINAR HARIAN ONLINE


Tags: , , , ,

Category: BOLA SEPAK MALAYSIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *