HARIMAU MUDA KE AUSTRALIA 10 DISEMBER 2011 JALANI LATIHAN

| Dec 1, 2011 | 0 Comments
  • SumoMe

HARIMAU MUDA KE AUSTRALIA 10 DISEMBER 2011 JALANI LATIHAN | Selepas ‘dilenjan’ habis-habisan sebelum ini, skuad Olimpik negara bakal ‘mencari ketenangan’ di Sydney, Australia selama 12 hari bermula 10 Disember depan. Bukan untuk ‘makan angin’, sebaliknya anak-anak buah Ong Kim Swee ini akan ‘berguru’ bersama tiga buah kelab elit di sana sebagai persiapan menghadapi baki tiga lagi perlawanan aksi kelayakan Olimpik 2012, selain persediaan menempuh saingan Liga Singapura (Liga-S) pada Februari tahun depan.

Tiada sebarang kejutan ketara yang dilakukan Kim Swee mengenai senarai 30 pemain yang dipanggil menyertai latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya Isnin depan (5 Disember) apabila beberapa muka lama seperti kapten, Khairul Fahmi Che Mat dan penyerang kontroversi, Ahmad Fakri Saarani serta Thamil Arasu masih diberikan kepercayaan.

Kredibiliti permata muda negara, Muhammad Nazmi Faiz Mansor juga masih ditagih Kim Swee bersama rakan sepasukannya yang berjaya mempertahankan pingat emas Sukan SEA baru-baru ini seperti Syahrul Azwari Ibrahim, Mohd Fandi Othman, Abdul Shukor Jusoh, K. Gurusamy, Mahalli Jasuli, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Mohammad Muslim Ahmad.

Tiga pemain pinjaman kelab Slovakia, Vion Zlate Moravce – Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohd. Irfan Fazail dan Mohammad Fadhli Mohd Shas juga masih mendapat kepercayaan Kim Swee bersama Gary Steven Robbat yang sebelum ini ‘tercicir’ ke Jakarta gara-gara kecederaan. Perancang skuad Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), K. Reuben bersama peledak pinjaman Felda United, D. Saarvindran yang sebelum ini digugurkan ke temasya Sukan SEA juga kembali dipanggil menjalani latihan.

Begitupun, peledak berbisa negara, Izzaq Farris Ramlan terpaksa diketepikan kali ini gara-gara kecederaan serius selain seorang lagi penyerang, Mohd. Ferris Danial Mat Nasir juga digugurkan. Pada masa sama, beberapa muka baharu juga diuji Kim Swee kali ini termasuk penjaga gol muda Kelantan dan Terengganu, Syazwan Yusof dan Sharil Saari bersama pemain skuad Presiden Kelantan, Nik Mohd. Syahrul Azim Nik Abd. Halim serta beberapa lagi pemain muda seperti Muhammad Akmal Ishak, Mohd Azizan Nordin dan Mohd Azrif Nasrulhaq.

“Kesemua 30 pemain dikehendaki melaporkan diri pada 5 Disember (Isnin depan) di Wisma FAM selewat-lewatnya pukul 1 petang,” kata kenyataan FAM semalam.

Petikan : Kosmo! Online


Tags: , , , , ,

Category: BOLA SEPAK MALAYSIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *